Sunday 15 December 2013

Kompas

kau di selatan
aku masih di tengah
kau di utara
aku masih di tengah
kau di timur
aku masih di tengah
kau di barat
aku masih di sini

Tidur yang boleh menghapuskan rasa ini. Walau aku tahu ia tidaklah melupus kerana esok pagi andai nyawa masih dikandung rasa tu menyerang lagi. Mungkin kalau boleh aku panggil tidur tu painkiller.

aku harap jarak ini memihak pada aku. Jauh itu kita. Dekat itu hati.

Tuesday 10 December 2013

Meninggal dunia

Aku tak pandai menulis pun. Kadang-kadang tulisan yang aku tulis tu tak layak pun digelar puisi. Mungkin ekspresi lebih tepat.

Disember, bulan yang mencurahkan air dari langit cukup banyak sekali tahun ni. Negeri-negeri pantai timur diuji Tuhan dengan banjir yang menenggelamkan harta, rezeki dan nyawa. Hikmah air ni cukup bererti buat orang yang berfikir.

Monsoon.. (Teringat puisi monsoon history waktu sekolah menengah dulu)

Kawan, sebenarnya sebelum kita meninggal dunia ada satu perkara yang kita wajib buat tiap-tiap hari yang memerlukan kita meninggal dunia.

Ye. Solat. Kita kena tinggalkan dunia sebentar untuk solat. Solat yang khusyuk benar-benar memisahkan seseorang tu dengan urusan dunia.

Monday 9 December 2013

Perempuan 8 (akhir)

Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

terima kasih,
terima aku.

hijab ini semalam kau buka
celik aku berdiri seperti Tuah
menikus dalam syukur
dititipkan bakal raja si bidadari

(lelaki ini barangkali
telah menemui sebelah sayapnya
yang hilang sejak lahir)

Perempuan,
aku mendoakan;
solehah itu pakaianmu
senyum itu cermin wajahmu
indah itu dirimu

dari lelaki seusiamu

Monday 2 December 2013

Pergi - malam

tutup lampu

hujan, temani aku
menghapus jejak hari ini, semalam

selimut tubuh yang kalah
sering gundah memamah kehidupan

pergi jauh mimpi!
pergi!

aku,
bersandar pada Tuhan
tidak lagi harapan

tutup mata

Perempuan 7

di hulu itu aku
di hilir itu kau
telah aku layarkan si perahu kertas
tertulis namamu
juragannya hati yang tersurat
muatannya berat, puisi tersirat

biar sampai kepadamu nanti
sebuah cinta yang tak tidur
dari menjaga,
walau sesuatu membadai kita.

dari lelaki berat 73 kg..
berat lagi risaunya pada perempuan..

Dingin Disember

Alhamdulillah.. Pagi ni hujan malu-malu untuk menyiram bumi. Dan disebabkan itu ramai manusia yang liat nak berpisah dengan mimpi mahupun selimut busuk. Budak sekolah mungkin happy. Tapi buat mak bapak budak atau bakal pasti sukar untuk memulakan hari isnin sebegini.

Bila sejuk-sejuk macam ni, aku teringatkan saudara zahariz. Dengan basikal dia menjelajah. Macam mana la kan rasa hidup seorang diri di bumi salji tu. Fuhh. Benda macam ni yang aku teringin nak buat sebenarnya. Bak kata zahariz, bila dia tengok sesuatu keajaiban atau keindahan alam tu dia akan rasa kebesaran Pencipta tu. Allahuakbar!

Dalam banyak-banyak negara yang aku nak pergi, salah satunya Iceland. Zahariz dah sampai ke situ. Erghh. Bila pulak la time aku..

Kawan, bila hujan jangan mengeluh. Kita tak tahu pun kan rancangan Tuhan. Just doa semoga hujan tu bermanfaat.

Senyum.

Sunday 1 December 2013

Perempuan 6

tiada tanda
bila?
tiada kata
kenapa?
dari pagi mentari memujuk
hingga bulan melelap resahku

sekian untuk aku seharian.

Darah

Kadang-kadang aku terlalu memikir jauh ke hadapan. Gilakah aku? Maaflah. Tak perlu sumbat aku ke hospital Tampoi. Aku masih lagi berkiblatkan kaabah.

Aku terfikir bila aku dah masuk zaman berkongsi hidup dengan isteri aku nanti dan dikurniakan insan kecil yang comel. Aku sedang mencari jawapan yang sesuai untuk soalan-soalan yang akan ditanyakan dalam proses pembesarannya kelak. Kalau soalan math atau sejarah aku tak kisah walaupun aku tak la pandai mana. Tapi kalau soalan tu (sekadar beberapa contoh) ; "Abi, Allah tu kat mana?", "Abi, kenapa kita tak boleh makan Mcd?". Hmm. Aku tak pasti dari mana darah seni aku ni datang. Aku tak tahu mana hulunya. Aku sekadar di tengah-tengah. Apakah darah seni ni akan mengalir juga ke hilir generasiku? Argh.. Cukuplah. Terlalu jauh aku memikir.

Aku jealous dengan saudara Taj Addin. Beliau menulis. Dalam buku hitam putihnya sarat dengan ekspresi emosinya yang pelbagai. Dizahirkan pula dalam bentuk yang cukup puitis. Buat anak-anak saudara Taj Addin, kalian beruntung dapat ayah sepertinya. Pastikan kalian baca bukunya. Ada nasihat khusus untuk anak-anaknya yang boleh buka minda aku untuk fikir masa depan lebih ke hadapan.

Buat zuriatku kelak, aku harap kau dapat mengambil manfaat dari mana-mana ruangan di blog ini untuk dijadikan panduan dan renungan hidup di dunia, tempat berehat sementara kita sebelum pulang ke tempat asal, akhirat.

Abi.

Random

Salam. :)

Kawan, kau sihatkah? Maaflah jika sebelum ni tulisanku sedikit puitis.

Kadang-kadang bila aku rasa aku berbeza dengan orang lain aku takut aku ni dah jadi orang gila. Yang jelas aku masih berkiblatkan kaabah.

Ada masa aku terfikir lebih tenang bila menghuni tirai besi. Atau hidup dengan alam di gua-gua atau lantai hutan. Adakah sebab wang yang memaksa aku berfikir seperti itu?

Di dalam tirai besi, aku pasti didisiplikan dengan nilai-nilai mukmin sebenar. Di dalam gua, aku pasti merenung hikmah kegelapan dunia sebab ramai hari ini melihat akhirat itu gelap. Di dalam hutan aku dapat rasakan damai dan tenang yang tiada di kota. Sebab ada zikir dari makhluk lain di situ.

Hari ni saja dalam media cetak ada yang sanggup menjual buah zakarnya untuk membeli sebuah kereta mewah. Sebab dia tiada wang. Jadi boleh tak aku katakan wang tu jahat? Atau orang tu sendiri yang bodoh?

Ingatlah kawan, wang hanya alat. Kita sendiri yang memilih mana wang tersebut pergi. Ada yang memilih membeli. Ada yang memilih memberi. Dan ada yang memilih berjudi.

Aku paling takut jadi tanggang. Kalau tengok filem tu pun aku dah takut sebenarnya. Anak dah kaya. Mak bawakkan lepat pisang kesukaan anaknya dengan harapan anaknya gembira. Anak tak mengaku tu mak dia. Anak tu lah tanggang! Tuhan murka padanya dunia akhirat. Maka di dunia lagi bala sudah menemaninya. Belum lagi di akhirat. Akhir zaman, ibu melahirkan tuannya. Serius aku takut..kalau ibu terasa sedikit pun dah kira derhaka.

Hari ni juga banyak pemimpin dah terbongkar onarnya. Rasuah antara no 1 sebab demonstrasi berlaku selain salah guna kuasa mahupun wang rakyat. Pemimpin islam yang memiliki sikap sebegini seharusnya malu dengan kezuhudan khalifah umar bin abd aziz. Tolonglah fikirkan soalan yang akan ditanya Allah di padang masyar kelak wahai pemimpin sekalian!

Sekian,

Friday 29 November 2013

Perempuan 5

tanpa puisi
cuma janji
oleh lelaki seni
tanpa bait puisi
tetap teguh berdiri
bersaksikan ilahi
membenih cinta murni
dari dunia sampai syurga-Nya.

waktu walau beku
tak patah ikhtiar aku
menantimu, tak jemu.

yang lelah dari jauh,
lelaki..

Sunday 24 November 2013

Perempuan 4

aku berhajat
kau beristikharah
aku buntu arah
kau cari alamat
apakah jawapannya?

wujud lagikah dilema?
atau ada yang tak sempurna?

Perempuan,
nawaituku bukan drama
esok,
cita-citaku memimpinmu ke syurga
mengharum subur dukamu yang dulu
mewarnakan pelangi kala gelisahmu mengelabu

Saturday 23 November 2013

Perempuan 3

Alhamdulillah..

hari ini panas-panas berangin
satu alamat yang jemuran pasti kering..

Perempuan,
sudah keringkah air matamu?
wujudkah aku lagi?
atau kian meluntur, pupus.

Aku masih ada karat
tapi tidaklah berlalat
aku juga masih rakyat dalam masyarakat
kadang tak mampu mengubah hakikat
tapi izinkan mencintaimu itu aku sempat
biarlah mengahwinimu itu satu amanat
sebelum nafasku dibawa malaikat..

Perempuan,
aku tak lg aku
seleraku telah basi
tubuhku berdiam diri
di mana kau saat ini?

Kalau kau izinkan,
ingin ku tuliskan 1001 persoalan ini...

dari lelaki enigmatik..

Monday 18 November 2013

Perempuan 2

Sudah hari ke berapa hari ini?
Oh! aku masih bermimpi..

Sudah tibakah hari itu?
Oh! aku masih bermimpi lagi..

belum cukup jam
rindu itu sudah mula mengeti..

dalam ruang sempit ini
telah aku tanamkan harapan
walau aku tahu kelak ia layu jua
namun,
biarlah sekuntum mawar yg mekar
bukan mawar putih tanda perpisahan

ah! Pukul berapa jam sekarang!

Saturday 9 November 2013

Perempuan

Perempuan,
Separuh aku memikirkan perempuan

andai kau boleh terima rasa ini
aku hargai dengan sekuntum mawar
dan andai...
aku pulang semula ke tepian perasaan

aku paling senang
sedikit menjadi ubat kesepian
bila orang tua tersenyum
walau jauh disorok
risaunya akan anak bujang seorang

memikir masa depan
hakikat makhluk bertuhan
meniti umur yang kian usang

Perempuan,
aku.. aku.. aku memikirkan yang jauh
yang terkehadapan
sesuatu yang aku bina pada masa itu
tentang takdir yang kudoa
hadir makbul bersamamu

Perempuan,
aku masih ragu akan intan
yang ramai idamkan
biarlah hadiah itu mengagungkan Tuhan
aku janji kan menghadiahkanmu
sang bulan dari Tuhan

Ikhlas dari lelaki..

Friday 8 November 2013

Biol atau ikhlas?

Hmm hmm hmmmm hmm
La la laa la la la laaaa...
(Miming selawat talaal badr alaina)

Salam jumaat sahabat
Semoga kita tak lupa akhirat.. :)

Kerajaan atau pemerintahan?
rakyat atau kuli?
rasuah songlap atau duit kopi?
telus atau tiris?
berita atau bercerita?
fakta atau auta?
bencana atau bala?
revolver atau revolusi?
hitam putih atau omongan?
penjara atau muhasabah diri?
bodoh diam atau bodoh kecut?
balik rumah atau balik kubur?
terrorist or activist?
tudung atau aib kau kurung?
make up atau hakikat?
hantu atau syaitan?
seks atau kasih sayang?
tong sampah atau sedekah?
maruah atau hadiah?
pen atau pedang?
seksa atau seksi?
tipu atau taktik?
markah atau masyar?
senang atau wang?
ular atau tikus?
pencuri atau peminta sedekah?
usik atau ejek?
K-pop atau bajet meletop?
presiden atau khalifah?
fitnah atau bunuh?
sunnah atau mewah?
jujur atau tegur?

Maaflah. Aku masih di terperuk bosan di sini. Doakan aku, Abdullah.. Makhluk tuhan tidak seksi.

Thursday 7 November 2013

Gagak

Aku pun tak tahu sampai bila telinga aku ni betah melayan kebisingan melayu butterfingers ni. Tapi aku rasa itu lebih baik kalau nak dibandingkan dengan keangkuhan orang-orang kota ni. Aku rasa gagak yang berak merata ni seakan simbolik meludah pada baju-baju mahal tu.

Orang-orang kota!
kalau engkau kenal aku
kau tak teragak biarkan aku mati sendirian di jalanan

Gagak yang jahat!
berak tak pilih tempat
tapi lebih elok dari kalian mengumpat

Bebas nyanyian butterfingers ni tak habis-habis hasut aku untuk lari dari realiti. Memang bebas bagi aku adalah aku main muzik balik. Dan aku cukup rindu zaman aku dan kawan-kawan lain memasang cita-cita untuk main gig. Cita-cita tu klimaks pada tahun 2010.

Setengah jam pun berlalu..

Kawan, jangan harap pada manusia. Harap pada Tuhan. Manusia tak sempurna untuk dijadikan harapan. Kau kan sedih bila terlalu berharap..

Thursday 31 October 2013

Cakap-cakap

Perbualan kita tak kosong. Sebab bukan aku dan kau saja yang terlibat dalam hal ini.  Walau kita berdua berbisik di kalangan ramai orang yang terpekik. Atau kita saling berpelukan di dalam tanah sekalipun (Aku percaya cacing kat dalam tu mesti pandang serong kat kita).

Perbualan kita adalah perbualan dua insan yang saling mengeluh, menasihat, mengejek, mencadang atau barangkali menikam. Kadang-kadang aku menyarankan kita bersalaman saja. Namun kau seolah-olah seiringan bersama hati aku lantas membaling batu. Aku ikut namun dengan hati aku yang ikhlas. Lalu aku tikam. Dengan alasan tidak hipokrit aku kita melihat daging itu mulai membusuk.

Perbualan kita boleh jadi guru atau penjenayah. Kita agungkan tokoh barat. Bercerita tentang kisah hidupnya yang tragis sehingga menemui kejayaan. Kita lupa guru yang sangat guru. Bahkan kepada semua kita. Seorang guru yang pernah dibelah dadanya oleh ar-Ruh.
Sebab kita selalu terpijak perangkap Uncle Sam. Boleh jadi zaman yang semakin akhir ini kita sendiri yang memilih untuk makan perangkap tu.

Perbualan yang menyeronokkan kadang-kadang jadi ubat tekanan. Macam-macam jenis bunyi gelak. Kelakar. Sayangnya dalam gelak tu adalah hasil cacat cela kawan kita. Sumpah kita takkan gelak kalau pasal tempangnya mak bapak kita. Kalau ia. Engkau TANGGANG!!!

Bermonologlah dengan memikir dulu baik atau buruk hasilnya. Bimbang manusia membencimu. Bimbang kau tak lagi stabil berikutan rohmu senget ke kiri.

Aku adalah Abdullah. Aku sedaya upaya untuk jadi baik. Yang jahat jadi baik. Yang baik jadi lebih baik.

Sekian monologku..

Tuesday 29 October 2013

Tentang-tentang

Kawan, jahat ke aku kalau aku dengar balik lagu-lagu Kurt Cobain? Aku harap kau bersangka baik. Haha.

Smells like teen spirit!!!

Percayalah. Setiap perkara ada pro kontra nya. Even Malaysia ada BN dan PR. Amerika ada Demokrat dan Republikan. Manusia ada tangan kanan dan kiri. Mana ada orang cebok pakai tangan kanan. (mungkin ada, tapi atas sebab-sebab khusus). Islam mengajar kita untuk redha dan sabar atas segala perkara yang berlaku. Seperti kata Ustaz Pahrol, manusia yang sedang diuji itu sedang dididik oleh Tuhan.

Miskin diuji. Kaya diuji. Mana manusia yang tak diuji?

Kita kena kurangkan rasa selesa di dunia ni. Mari sama-sama membina rumah yang lebih selesa di sana. Hidup kat sini sementara. Hidup kat sana sampai bila-bila. Aku harap kita ada rasa takut dengan segala yang kita miliki hari ini walaupun aku tahu kita boleh jadi kucing kehilangan anak jika salah satu benda atau orang yang kita sayang hilang dari pandangan.

Semuanya pinjaman dari Tuhan. Contoh paling mudah oksigen.

Kawan, sebenarnya aku nak tulis pasal benda lain. Alih-alih lain pulak yang aku tulis ya. Haha. Tentang penipuan global.

Cubalah dengarkan dulu lagu 'TENTANG-TENTANG' dari Butterfingers.

Saturday 26 October 2013

Pahit dan masam manis

Aku rasa kau benar-benar telah hilang dalam hidupku. Benar, aku tunggu sesuatu yang sekadar boleh memaafkan sejarah lampau. Atau mungkin dapat menyegarkan senyumanku bila berhadapan dengan yang lain. Apakah aku saja yang berusaha menghitung hari saban tahun untuk hari yang istimewa itu. Aku rasa kau kan tersenyum mengiyakan. Silap! Kau barangkali ketawa besar. Baiklah,

Selamat jalan sejarah 2008!

Sila tafsir rangkap di atas mengikut pengalaman masing-masing. Aku just masak. Korang yang rasa.

So macam mana dengan bajet 2014? Korang berpuas hati tak? Aku takut nak komen banyak sebab ilmu ciput bab-bab ni. Tapi cuba adaptasikan dengan life kita sekarang ni.

Paling melucukan bila PM kata subsidi gula dikurangkan atas faktor kesihatan. Nak cegah penyakit 3 beradik tu. Haha. PM sendiri jelas tersenyum bila mengumumkan benda ni. Aku pun senyum jela. Senyum sebab memikirkan harga kuih donat dan keria nanti. Apakah harganya sedikit berbeza dengan kuih-kuih lain nanti. Haha. Takdela. Banyak efeknya nanti. Just fikiran aku yang gila-gila pasal gula ni.

Tapi yang jelas GST yang akan dilaksankan Apr 2015 nanti menekan orang bergaji rendah macam aku.

Orang kaya makin kaya, orang miskin makin miskin!! Yeahhhh...

Thursday 24 October 2013

23 years

Hey dude. This is still me. Writing what he had in his mind.

23 years!

Biarlah aku cakap melayu. Untuk mat salleh yang secara tak sengaja ter'click' page ni korang just baca ayat intro jela ye. Haha

23 tahun di muka bumi apa yang korang rasa? Erghh. Sedar tak sedar cepat benar aku tua. Atau orang selalu kata cepat benar masa berlalu. Kenapa masa tu terasa cepat?? Sebab masa yang ada tak dihargai. Then kenapa tak hargai??

Lalai. Aku pun sama. Masa tu kalau betul-betul kita jaga dan manfaatkan insyaallah tak kan terasa cepat atau lambat. Dalam proses menjinakkan masa itu kita kena tahu apa gunanya masa.

Sila baca surah al-Asr.

Kawan, aku seboleh mungkin mencuba untuk jadi orang baik. Benar, dalam diri kita ada Hyde dan Jekyll. Dan lebih menakutkan lagi ada Raqib dan Atid. Tak ada setiap perbuatan pun yang tak kan dikira di akhirat kelak. Memanglah di dunia makhluk spesismu yang lain tak peduli. Tapi akhirat adalah hari aku, family aku, kawan-kawan aku dan semua manusia yang aku kenal atau tak menghadap raja segala raja. Allah. Aku kenal Thom Yorke. Tapi dia tak kenal aku. Dia juga akan menghadap Allah suatu hari nanti.

Aku menulis ni dalam keadaan aku bosan di tempat kerja ni. Tak banyak kerja. Aku takut rezeki aku tak berkat.

Selamat Hari Lahir Aku!
Terima kasih mak kerana melahirkan dan membesarkan aku.. Aku doakan syurga untuk mak ayah..

Sunday 13 October 2013

Inspirasi hati

Kawan, aku bukanlah orang baik-baik. Bukan juga orang jahat-jahat. Aku orang yang pelupa. Lalai.

Bila buka FB, like la page Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man. Jangan risau aku tak hasut isu politik ke apa. Cuma nasihat yang Dato' kongsikan pasti membuatkan kau tersenyum dan berfikir. Senyum.

Lagi satu, mungkin kau tahu kan Prof Muhaya. Alang-alang dah surf internet gerakkanlah kursor kau tu ke google. Then taip 'IKIM audio gallery'. Mohon download ceramah beliau. Setiap kali aku cuba dengar ada je quote yang memotivasikan. Baru-baru ni aku cukup tertarik pasal prof cakap kebanyakan kita sibuk dengan topeng masing-masing. Try la dengar untuk tahu apa yang dimaksudkan topeng tu.

Senyum.

Saturday 12 October 2013

Bahagia

Aku adalah Abdullah..

Kalau boleh aku akan elakkan blog ni jadi diari. Ada orang yang gemar update apa yang mereka sedang buat, perasaan mereka atau apa-apa je la. Entah. Aku bukan jenis orang yang macam tu. So kalau kawan-kawan aku akan update status yang dia orang sedang minum teh tarik atau baru sampai di Melaka contohnya, aku lebih suka diam. Orang lain takkan tahu apa perasaan aku or di mana aku pada masa tu.

Escape in silence...

Kawan, aku tak ada idea nak menulis apa sebenarnya. Cuma aku ada satu perkara yang baru-baru ini macam motivate hidup aku bila time aku keseorangan. Kadang-kadang keseorangan itu akan memaksa kita berfikir. Sebenarnya kita juga boleh pasang angan-angan time tu. Cuma angan-angan tu macam buang masa. 

Aku ni menumpang di dunia ni. Aku juga menumpang jasad. Aku kini berada di atas jambatan. Aku boleh menyanyangi sesuatu atau seseorang tetapi aku kena bersedia untuk menghadapi kehilangannya suatu hari nanti. Bahagia bagi aku bukan kaya. Bahagia adalah hati aku tenang. Tenang dan damai sehingga dapat merasakan angin mengirim upah buat lelah atau langit melakar warna-warni mukaddimah jannah.

Kawan, aku adalah Abdullah. Umat Muhammad S.A.W

Tuesday 24 September 2013

Rawak di KL

Buskers pun dah pakai drum set. Tak macam dulu. Pakai gendang or didgeridoo. Tu yang seram sound dia. Tapi now sound dia ok. Jelas. Clear. And kuat. Yela. Tiap gitar pakai amp. Salute!

Kat sebelah tu ada pelukis karikatur. Salute! Sebab aku suka pelukis and kartunis.

Apa yang aku nampak sama mereka ni berambut panjang. Aku pun suka rambut panjang. Then mungkin kami spesies yang sama. Erk!

Jangan bawa aku ke kedai buku. Pasti aku tak keluar dari kedai tu tanpa beg plastik.

Saturday 21 September 2013

sudah bisa berpiano..


Aku janji akan bawak keluar semua setiap karyaku yang masih segar di dalam kotak Mungkin bergerak macam Thom Yorke terlalu riak. Tetapi aku akan buat cara Loque. Hari demi hari aku gilap benda dalam kotak tu. Mesin utama masih rosak ketika ini. Sabarlah.

Tuesday 16 July 2013

Perhentian

Berdiri jadi mengah
bukan udara mati
jauh dari orang-orang moden
seperti mendekati orang-orang asing
yang benarnya ada kesaksian

Terlalu bingung bakal meruntuh
adakah ia bebanmu?
kau masih bertuhan
kau masih bertuhan
kau yang rela menekan butang

Jalan ini takkan abadi sayang
meskipun selalu dikalungkan
usahlah makan cacian
walau hakikat ludah berpanjangan
kelak kau kan temui teladan

Carilah diri sehingga mendapatkan pemilik diri

Tuesday 2 July 2013

Step

Aku rasa air kopi yang tinggal suku ni memantulkan status aku yang tak lama lagi bebas meluaskan jiwanya. Janganlah takut untuk keluar dari kepompong. Mari gembirakan jiwa yang dikurung lama. Tepu. Bernafas bersama jiwa-jiwa berat ni sedikit menghempapku. Hakikatnya jiwaku lebih ringan bersama-sama angan yang kadangkala datang menghibur.

Ya Allah, permudahkanlah aku untuk next step ini. Amin..

Friday 28 June 2013

Sebuah maksud

Senyap
Diam
Escape
Sudut
Di bawah
Di belakang
Lari...

Tuesday 25 June 2013

Asap

Kasihan kau matahari
garangmu telah pudar
kami orang-orang bumi sesak
asap dari semalam belum hilang
kami menyalahkan kawan
kawan menyalahkan kawan

bukankah ianya dari Tuhan?
sayang mata sedar dan akalnya tidur
mungkin belum segagah tsunami
sekadar jerebu yang tumpang hari

Hujan pasti merajuk
lama tak menyapa
mungkin dendam dulu masih terpendam..

Monday 17 June 2013

Asmidar

Aku dapat rasa ada orang dalam industri muzik ni yang karakter dan vokalnya unik berbanding wanita-wanita lain. Ada orang cakap macam bjork. Macam Saloma pun ada. Yup! Memang betul.

Sunday 16 June 2013

Bagaimanakah?

orang yang tangan kirinya menggenggam ilmu namun tangan kanannya menerima maksiat.

Bagaimanakah?

Dikatakan punya jiwa kebebasan
juga kudrat kebenaran
namun hatinya sentiasa berbolak-balik

Bagaimanakah?

Benarlah, adakalanya musuh itu adalah diri kau sendiri dan kau meredhainya.

Saturday 8 June 2013

Tiket

Makkah
Iceland
Kelantan
Aceh

Kawan, belikan aku tiket ke sana. :)

Thursday 6 June 2013

Misi

Manusia itu hakikatnya sedang berperang. Ianya seboleh-bolehnya mahu merapati makhluk nur itu namun terus-terusan dihalang makhluk api. Lebih menyedihkan apabila matanya langsung di hijab melihat cahaya. Hati itu sudah seperti dalam gua.

Wednesday 5 June 2013

3 yang terakhir

Satu,
biarlah hujan membasahi bumi
kerana ketika itu payung tersedia selalu
kau cuma tinggal katakan romantik

Dua,
sabarlah walau susah terlelap
kerana yang menyusul nanti rindumu
suara dulu tak kan lagi melagu

Tiga,
gembiralah seperti kanak-kanak
kasihmu tak kan pernah haus
semudah janji dileburkan air mata
anggap saja aku plastik.

Monday 3 June 2013

Seksa

Mereka terlalu takutkan kami orang-orang berhalkum tak memandang mereka. Lalu mereka sering menanggalkan mahkota yang sepatutnya disarungkan. Maka tak hairanlah di akhir zaman nanti mereka terus bertelanjang.

kami lebih suka orang yang mahkotanya diniqabkan. Hijab itu cuma terbuka pada yang layak.

Sunday 2 June 2013

Aku belum mulakan

Tahniah saudara Nik sebab menggunakan kartun saudara bergandingan dengan hadis-hadis nabi Muhammad s.a.w Itu saja telah menggembirakan hati kecil ini.

Orang yang berbakat dalam bidang seni tak kisah lah dari bidang apa aku mohon agar korang guna bakat tu di jalan yang lurus. Dari mana datangnya bakat tu? (Korang pun tahu jawapannya)

Saturday 1 June 2013

Jangan ikut aku. Aku juga sedang diuji.

Maaflah. Aku hairan bila kau lagaknya bertaraf doktor tentang setiap inci buatan manusia itu sendiri. Sedangkan masih bersekolah tadika dalam mengenal apa itu matahari dan 7 lapis langit.

Wednesday 29 May 2013

Cerai dan berderai

Aku tak menceraikan. Aku sekadar ketawa sorang-sorang bila mengenangkan sikap dan kasih kau. Sudahlah. Aku penat membaling dadu. Aku tak kisah lagi nombor berapa milik aku. Yang pasti aku milik Pemilik Alam ini.

Kau adalah mimpi seram namun bijak diedit menjadi mimpi indah.

Wednesday 10 April 2013

Efek hawa dingin

Roh itu berada bersama-sama kawan lain di atas pentas. Mungkin waktu itu roh itu sedang cinta dengan biolanya. Siapa yang menarik erti kebebasan ketika itu pasti diherdik hebat.

Itulah aku pada dewasa ini. Bekerja dengan komputer yang dipenjarakan hawa dingin. Bercerita mengenai roh itu tadi barangkali tanda aku masih belum merdeka

Aswara terima tak orang macam aku?

Sunday 10 March 2013

Luar kawalan (Surat untuk Thom)

Kehadapan saudara Thom Yorke yang ku cintakan bakatnya,

Aku tahu kau telah menggegar dunia dengan tentera Radiohead mu. Bahkan kau telah menjajah dunia jepang yang ku kagumi orang-orangnya.

Tadi setelah aku siap menulis beberapa baris ayat, aku telah menemukan sebuah melodi yang bagi aku dark dan berat. Terus aku gaulkan dengan ayat tadi. Macam lagu Exit Music pulak. Haha.

Btw aku nak jadikan lagu ni macam lagu Radiohead versi kami. Mudah2an ada dakwah dalam lagunya. . Hehe. Kau tak marahkan Thom? Owh ya tajuk lagunya 'Piano'.

See ya.
Love Allah, Love Muhammad P.B.U.H

Friday 8 March 2013

Sebelum terlena

Aku benar-benar berharap semoga cita-citaku yang satu ni tercapai.

Biarlah sebelum mati, ada buah tangan yang memanfaatkan saudara-saudaraku. Terutamanya yang masih tidak boleh memisahkan diri dengan bunyian muzik. Macam-macam cara boleh untuk menyumbangkan sesuatu kepada agama dan negara.

Orang macam aku yang pasif mungkin dengan kata-katanya saja tak cukup. Perkataan itu lebih cantik bila ada lagu buat menghibur sedikit.

Biarlah tak sehebat lirik Opick. Biarlah tak sama judul albumnya dengan band Ungu (Aku dan Tuhanku).

Man jadda wa jada.

Wednesday 6 March 2013

Berat

Sebelum dan setelah mengucapkan selamat itu tadi, berat fikir ku bertambah lagi. Barangkali mungkin terbawa-bawa kejadian masa silam.

Ketahuilah, aku sebagai lelaki memang hidupnya berat. Bukankah syurga di bawah telapak kaki ibu? Sehingga Rasulullah menyebutnya 3 kali sebelum ayah.

Berat itu nanti ditambah lagi bila teman hidupku turun. Ia wujud cuma entah di mana dia sekarang.

Setiap apa yang dipertanggungjawabkan akan disoal akhirat kelak.

Saturday 2 March 2013

Karpet merah

Bukannya karpet tu merah sebab percikan darah.

Janganlah dirimu bangga kalau setiap jiwa yang mengengsot di atas situ kau kenali. Lantas kau kata "Owh, itu Harun Ajis", "Ha, yang tu Nik Lopah".

Sukalah dirimu kalau setiap nabi dan keturunan-keturunannya malah alim ulama' yang masih bernafas kala ini kau kenal dan hargai.

Saturday 23 February 2013

Abang Kamil

"Ada kehidupan selepas mati." Aku masih ingat lagi pesan abang Kamil.

Apa nak bawak mati nanti? Orang bodoh je mati bawak duit. Aku rasa korang faham maksud aku pasal duit tu.

Ya Allah, biarlah aku miskin asal tidak kufur pada setiap nikmat hidup ini.

Thursday 21 February 2013

Aku orang bebas

Setelah Allah dan rasul-Nya, ibuku. Ibuku. Ibuku. Setelah ibu baru kamu.

Aku orang bebas. Boleh jadi aku tak suka subjek undang-undang. Aku cuma berharap hudud wujud di tanah air ku. Bebas rokok, bebas korupsi, bebas zina dan bebaslah segalanya yang jahat-jahat.

Aku orang bebas. Tak berpendidikan tinggi. Tapi aku bebas bermuhasabah diri, mengukur baju sendiri dan membaca puisi-puisi Prof Lim.

Aku orang bebas. Bebas itu indah bila manusia sering husnuzhon pada saudaranya. Adakah mereka tak rasa nikmat bebas? Saudara yang menderma 20 sen di tabung masjid saja sudah jadi cerita hangat. Gila!

Kamu, aku ini orangnya bebas. Tapi dalam agamaku, aku tunduk patuh walau kadangkala terjatuh.

Buat perempuan masa hadapanku, mencintaimu kerana Allah.

Monday 18 February 2013

Satu bulan

Gila nak buat apa satu bulan ni wei!? Duduk di rumah, berdiri di rumah, semuanya di rumah. Boleh tak kalau aku cuba buat lagu baru? Insyaallah boleh. Tapi idea pulak kadang-kadang kering. Boleh tak kalau bosan-bosan buat puisi? Insyaallah boleh. Tapi idea beku. Aku tak macam puisiMan. Subjek puisi aku datang bila time kritikal je. Boleh tak kalau aku duduk diam-diam tengok tv. Tak boleh! Gila!

Aku nak cuba plan masa depan la sebab matlamat aku datang mesti bersama-sama si cinta.

Saturday 9 February 2013

Allahuakbar, Allahuakbar!

Februari, aku telah bersalah padamu
damai diragut, masa tidur jadi kerap
kekasih dari lahir tersangkut rencana
jiwa-jiwa terdekat jadi tentera

aku bukan pemain catur
akulah raja, akulah tentera
aku pelakon pentas dunia
akulah hamba Ar-Rahman Ar-Rahim

Saturday 26 January 2013

Sarah III

mungkin kah jarak ini sebuah tanda
bagi manusia yang hilang roh
walau hakikat setia di jasad
seakan mati separuh
aku tak pasti jarak ini yang jauh
atau fikiran sempit ini yang sudah terbuang jauh

bolehkah menjauh?
pasti beban ini kian kukuh
atau ia runtuh
semakin rapuh
jika rahsia pecah tak utuh

Lambat lagilah November?

Thursday 24 January 2013

Sarah II

sekawan tali gitar buruk itu
lucu sekali bila membaca suara hatiku
dieja keluar rasa sayang
didiamkan pendam bimbang padam
malam ini dikendong hingga esok siang
tentang 'sekejap' aku, dia dan Tuhan
'sekejap' itu diingat-ingat
bukan hadirnya kelmarin
bukan hari-hari keesokan
ianya waktu yang terperangkap
di dalam gerabak tren
susah diduga datang, lalu hilang
aku ekspresikan ketenangan yang tak berlanjutan
berlawan dengan perasaan
yang gagah mahukan berkekalan
aku bermain dengan beban
entah di mana letih yang sepatutnya dirasakan
jauh di dasar hati ini sudah merindukan
lalu esok 'sekejap' harus kulupakan.
Sabarlah. Janji Allah pasti datang.

Monday 14 January 2013

Sarah

Jalan hidup ini
tak jauh,
aku merasakan seperti
aku dilahirkan semalam
hari ini aku dewasa
dan esok hari tua
Kadang-kadang
atau secara tiba-tiba
aku rasa cukup semuanya
aku tak perlu Mercedes!
Kenapa K-Pop?
kenapa tidak Thom Yorke?
aku ini mencari-cari sesuatu
Aku cuma sekadar mencintai bayang-bayangmu kerana aku mencinta jasad sebenarmu dalam sebuah doa masa hadapan.