Sunday 15 December 2013

Kompas

kau di selatan
aku masih di tengah
kau di utara
aku masih di tengah
kau di timur
aku masih di tengah
kau di barat
aku masih di sini

Tidur yang boleh menghapuskan rasa ini. Walau aku tahu ia tidaklah melupus kerana esok pagi andai nyawa masih dikandung rasa tu menyerang lagi. Mungkin kalau boleh aku panggil tidur tu painkiller.

aku harap jarak ini memihak pada aku. Jauh itu kita. Dekat itu hati.

Tuesday 10 December 2013

Meninggal dunia

Aku tak pandai menulis pun. Kadang-kadang tulisan yang aku tulis tu tak layak pun digelar puisi. Mungkin ekspresi lebih tepat.

Disember, bulan yang mencurahkan air dari langit cukup banyak sekali tahun ni. Negeri-negeri pantai timur diuji Tuhan dengan banjir yang menenggelamkan harta, rezeki dan nyawa. Hikmah air ni cukup bererti buat orang yang berfikir.

Monsoon.. (Teringat puisi monsoon history waktu sekolah menengah dulu)

Kawan, sebenarnya sebelum kita meninggal dunia ada satu perkara yang kita wajib buat tiap-tiap hari yang memerlukan kita meninggal dunia.

Ye. Solat. Kita kena tinggalkan dunia sebentar untuk solat. Solat yang khusyuk benar-benar memisahkan seseorang tu dengan urusan dunia.

Monday 9 December 2013

Perempuan 8 (akhir)

Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

terima kasih,
terima aku.

hijab ini semalam kau buka
celik aku berdiri seperti Tuah
menikus dalam syukur
dititipkan bakal raja si bidadari

(lelaki ini barangkali
telah menemui sebelah sayapnya
yang hilang sejak lahir)

Perempuan,
aku mendoakan;
solehah itu pakaianmu
senyum itu cermin wajahmu
indah itu dirimu

dari lelaki seusiamu

Monday 2 December 2013

Pergi - malam

tutup lampu

hujan, temani aku
menghapus jejak hari ini, semalam

selimut tubuh yang kalah
sering gundah memamah kehidupan

pergi jauh mimpi!
pergi!

aku,
bersandar pada Tuhan
tidak lagi harapan

tutup mata

Perempuan 7

di hulu itu aku
di hilir itu kau
telah aku layarkan si perahu kertas
tertulis namamu
juragannya hati yang tersurat
muatannya berat, puisi tersirat

biar sampai kepadamu nanti
sebuah cinta yang tak tidur
dari menjaga,
walau sesuatu membadai kita.

dari lelaki berat 73 kg..
berat lagi risaunya pada perempuan..

Dingin Disember

Alhamdulillah.. Pagi ni hujan malu-malu untuk menyiram bumi. Dan disebabkan itu ramai manusia yang liat nak berpisah dengan mimpi mahupun selimut busuk. Budak sekolah mungkin happy. Tapi buat mak bapak budak atau bakal pasti sukar untuk memulakan hari isnin sebegini.

Bila sejuk-sejuk macam ni, aku teringatkan saudara zahariz. Dengan basikal dia menjelajah. Macam mana la kan rasa hidup seorang diri di bumi salji tu. Fuhh. Benda macam ni yang aku teringin nak buat sebenarnya. Bak kata zahariz, bila dia tengok sesuatu keajaiban atau keindahan alam tu dia akan rasa kebesaran Pencipta tu. Allahuakbar!

Dalam banyak-banyak negara yang aku nak pergi, salah satunya Iceland. Zahariz dah sampai ke situ. Erghh. Bila pulak la time aku..

Kawan, bila hujan jangan mengeluh. Kita tak tahu pun kan rancangan Tuhan. Just doa semoga hujan tu bermanfaat.

Senyum.

Sunday 1 December 2013

Perempuan 6

tiada tanda
bila?
tiada kata
kenapa?
dari pagi mentari memujuk
hingga bulan melelap resahku

sekian untuk aku seharian.

Darah

Kadang-kadang aku terlalu memikir jauh ke hadapan. Gilakah aku? Maaflah. Tak perlu sumbat aku ke hospital Tampoi. Aku masih lagi berkiblatkan kaabah.

Aku terfikir bila aku dah masuk zaman berkongsi hidup dengan isteri aku nanti dan dikurniakan insan kecil yang comel. Aku sedang mencari jawapan yang sesuai untuk soalan-soalan yang akan ditanyakan dalam proses pembesarannya kelak. Kalau soalan math atau sejarah aku tak kisah walaupun aku tak la pandai mana. Tapi kalau soalan tu (sekadar beberapa contoh) ; "Abi, Allah tu kat mana?", "Abi, kenapa kita tak boleh makan Mcd?". Hmm. Aku tak pasti dari mana darah seni aku ni datang. Aku tak tahu mana hulunya. Aku sekadar di tengah-tengah. Apakah darah seni ni akan mengalir juga ke hilir generasiku? Argh.. Cukuplah. Terlalu jauh aku memikir.

Aku jealous dengan saudara Taj Addin. Beliau menulis. Dalam buku hitam putihnya sarat dengan ekspresi emosinya yang pelbagai. Dizahirkan pula dalam bentuk yang cukup puitis. Buat anak-anak saudara Taj Addin, kalian beruntung dapat ayah sepertinya. Pastikan kalian baca bukunya. Ada nasihat khusus untuk anak-anaknya yang boleh buka minda aku untuk fikir masa depan lebih ke hadapan.

Buat zuriatku kelak, aku harap kau dapat mengambil manfaat dari mana-mana ruangan di blog ini untuk dijadikan panduan dan renungan hidup di dunia, tempat berehat sementara kita sebelum pulang ke tempat asal, akhirat.

Abi.

Random

Salam. :)

Kawan, kau sihatkah? Maaflah jika sebelum ni tulisanku sedikit puitis.

Kadang-kadang bila aku rasa aku berbeza dengan orang lain aku takut aku ni dah jadi orang gila. Yang jelas aku masih berkiblatkan kaabah.

Ada masa aku terfikir lebih tenang bila menghuni tirai besi. Atau hidup dengan alam di gua-gua atau lantai hutan. Adakah sebab wang yang memaksa aku berfikir seperti itu?

Di dalam tirai besi, aku pasti didisiplikan dengan nilai-nilai mukmin sebenar. Di dalam gua, aku pasti merenung hikmah kegelapan dunia sebab ramai hari ini melihat akhirat itu gelap. Di dalam hutan aku dapat rasakan damai dan tenang yang tiada di kota. Sebab ada zikir dari makhluk lain di situ.

Hari ni saja dalam media cetak ada yang sanggup menjual buah zakarnya untuk membeli sebuah kereta mewah. Sebab dia tiada wang. Jadi boleh tak aku katakan wang tu jahat? Atau orang tu sendiri yang bodoh?

Ingatlah kawan, wang hanya alat. Kita sendiri yang memilih mana wang tersebut pergi. Ada yang memilih membeli. Ada yang memilih memberi. Dan ada yang memilih berjudi.

Aku paling takut jadi tanggang. Kalau tengok filem tu pun aku dah takut sebenarnya. Anak dah kaya. Mak bawakkan lepat pisang kesukaan anaknya dengan harapan anaknya gembira. Anak tak mengaku tu mak dia. Anak tu lah tanggang! Tuhan murka padanya dunia akhirat. Maka di dunia lagi bala sudah menemaninya. Belum lagi di akhirat. Akhir zaman, ibu melahirkan tuannya. Serius aku takut..kalau ibu terasa sedikit pun dah kira derhaka.

Hari ni juga banyak pemimpin dah terbongkar onarnya. Rasuah antara no 1 sebab demonstrasi berlaku selain salah guna kuasa mahupun wang rakyat. Pemimpin islam yang memiliki sikap sebegini seharusnya malu dengan kezuhudan khalifah umar bin abd aziz. Tolonglah fikirkan soalan yang akan ditanya Allah di padang masyar kelak wahai pemimpin sekalian!

Sekian,