Friday 26 August 2011

Adam (Bahagian 4)

Pagi-pagi lagi sudah bising. Kedengaran satu bunyi yang kuat dipukul-pukul dari luar. Berulang-ulang kali. Pintu rumah bergegar kuat seperti mahu tumbang. Engsel-engselnya seolah-olah tertanggal dan tak mahu lagi bersatu. Skru-skru yang membenam rapat juga terkejut dan macam tersembul keluar. Pintu itu dijadikan mangsa tuannya sendiri. Mak Jah sekali-kalipun tidak mengalah dalam usahanya menghalau penyewa rumah yang ingkar.Diketuk-ketuknya pintu rumah itu. Dia seperti buruh kontrak yang melakukan kerja keras. Berpeluh-peluh. Apabila pintu dikuak dari dalam dia pun berhenti.


"Ha,baru nak bangun! Tunggu apa lagi!" Sindir Mak Jah. 


Adam yang masih mamai lambat-lambat memahami leteran orang tua itu. Dia lupa sejenak tentang siapa orang tua berwajah bulat yang berdiri di hadapannya. Akhirnya dia malu sendiri. Orang itu adalah tuan rumah tempat dia menyewa dan kedatangannya pagi-pagi pasti sesuatu yang penting. Adam tersenyum sebaik sahaja teringat akan perangai orang tua itu bila marah. Hipotesisnya mudah: Apabila Mak Jah Marah, maka duitnya ada yang kurang.


"Owh, sekejap ya Mak Jah. Saya nak mandi dulu. Lepas tu saya pergi." Adam memohon dibersihkan dirinya dahulu sebelum bertolak. Walaupun Mak Jah membebel panjang, di akhir bebelannya itu dia mengizinkan.



Kerusi Kosong
Bas Rapid KL (Taman Melati - Jalan Tunku Abdul Rahman)


Si ibu dan si anak itu sedang berdiri memandang ke luar menerusi cermin yang diletakkan melintang. Seluruh tempat duduk telahpun penuh dengan orang-orang. Sarah dan Umi berdiri berdekatan pintu belakang. Sengaja Sarah berdiri di disitu supaya senang mereka turun sesudah sampai ke destinasi. Beg berat diletakkan di bawah. Kasihan Umi. Tangannya memegang kuat tangan Sarah. Persis anak kecil yang sedang belajar berjalan dan akan jatuh jika melepaskan tangan ibu. Wajahnya tak ceria tapi biasa-biasa saja. Ada satu perasaan aneh yang menganggu anak kecil ini. Lebih banyak mendiam. Muram. Macam orang ditinggalkan cinta pula. 


Cermin kecemasan 
38 duduk 28 berdiri


Sarah merenung lama tulisan yang ditampal lekat pada cermin. Menduga-duga kebenaran ayat yang nombor dua itu. Matanya meliar ke sana sini. Melihat sekeliling dan memerhatikan satu-satu kerusi yang ada di situ. Kelihatannya semua sudah penuh diisi dengan punggung-punggung orang. Hanya satu saja kerusi yang masih kosong iaitu di bahagian belakang. Sarah nekad untuk terus saja berdiam di situ bersama anak kecilnya sehingga ada dua kerusi kosong yang benar-benar layak untuk mereka berdua. 


Bas itu behenti di perhentian berikutnya. Muatan bertambah lagi kerana tiada seorang pun penumpang yang turun. Bakal-bakal penumpang yang beransur-ansur naik sedang berebut-rebut mendapatkan tiket. "Masuk dalam lagi! Belakang tu kosong lagi tu!" Pemandu berkumis tebal itu bersuara sambil melihat cermin yang memantulkan manusia-manusia di belakang. Di celah-celah mereka yang baru naik itu terhimpit seseorang yang istimewa. Dia sedang mencari jalan masuk di laluan yang sesak. Banyak kali dia meminta maaf. Entah kepada siapa maaf itu ditujukan pun dia tidak tahu. Dia tidak tahu siapa orang-orang di sekelilingnya. Justeru dia selalu membahasakan mereka-mereka itu sebagai Encik. Bersama tongkatnya dia berjalan berhati-hati. Bagi kehidupan orang-orang buta sepertinya tongkat adalah mata. Tahukah kita bahawa sekiranya memimpin mereka-mereka ini janganlah dipegangkan tongkatnya?


Ketika berjalan, tangan orang buta mesti berpegang pada bahagian siku orang yang membawanya. Ini bertujuan untuk memudahkan pergerakan orang yang dipimpinnya dan orang yang memimpinnya. Apabila berada di sesuatu tempat yang sempit, orang yang dipimpin mesti berada di belakang orang yang memimpin. Ini bertujuan supaya si buta itu tidak melanggar objek dan memudahkan si buta itu berjalan. Dan, ia seterusnya memudahkan pergerakan orang yang memimpin. Satu lagi, apabila si buta itu memegang siku anda, pergerakan anda termasuk naik atau turun tangga dapat dirasakannya dengan mudah dan berkesan. Pernah berlaku satu kes di mana seorang buta telah terjatuh ke dalam longkang akibat tongkatnya telah dipegang oleh orang yang membawanya. .


"Kasihan dia." Monolog Sarah sendirian. Sarah memerhatikannya. Dari hatinya dia simpati. Orang itu semakin ke belakang menghampirinya dengan tongkat yang diarahkan entah ke mana-mana. Namun tiba-tiba pula langkahnya terhenti. Lengannya yang putih halus itu dipegang satu tangan yang agak berisi berwarna gelap sedikit dari belakang. Seorang "auntie' berdarah India bangkit dari duduknya.


Sarah sakit hati pada orang-orang hari itu. Sudahlah dia dan anaknya yang diberati beg baju tak dikasihankan. Kini seorang buta yang layak diberikan kerusi dipelawa pula oleh seorang 'auntie' yang ditangannya penuh beg-beg plastik berbau ikan pasar. Siapakah mereka-mereka yang sedang duduk di kerusi ketika ini? Mengapa mereka berdiam diri? Perlukah ditanya dan dipinta dahulu baru diberi? Barangkali ikan yang dibeli 'auntie' itu lebih mengerti. 



******



Adam tergopoh-gopoh keluar dari rumah. Dia berlari selekas yang mungkin ke tempat motornya diparkir. Beg hitam yang sederhana besarnya digalas dan gitar tongnya disandang. Apabila semakin mendekat dengan pintu lif, kelihatan seolah-olah ada papan tanda besar bersimbolkan tanda amaran yang dipaku di atasnya. Tiada pula kata-kata yang menunjukkan apa-apa larangan di situ. Kecuali tanda dua anak panah. satunya di sebelah kanan dan satunya lagi di sebelah kiri. Di sebelah kanannya mengarah ke lif dan kirinya pula mengarahkan ke tangga kecemasan. Dalam realitinya Adam berada di hadapan dua pilihan ketika ini. Jika satunya diambil maka yang satunya lagi akan ditinggalkan. Memilih lif bererti dia membazirkan beberapa minit untuk turun ke bawah. Lif di flat itu sebuah sahaja. Tingkatnya pula berbelas-belas. Nombor merah yang tertera di atas lif itu kini pula adalah sebelas. Maka alternatifnya adalah lebih cepat; menuruni tangga dari tingkat dua hingga ke tingkat paling bawah, P (Parking).


Adam berlari lagi. Dia bergegas mendapatkannya motornya yang diparkir di sudut hujung sekali. Sehelai kertas dalam pegangan tangannya telah sedikit basah menyerap peluh.


Pasar Seni. Mama nak balik kampung tengah hari nanti.


Tulisan Umi itu diingat-ingatkannya kembali dalam fikiran. Mujurlah Mak Jah menemukannya pagi tadi dan tidak membuangnya. Dia sendiri pun tidak sedar akan sehelai kertas kecil yang disisipkan di bawah pintu rumahnya sewaktu melangkah keluar tadi. Dan disebabkan sehelai kertas kecil yang ditulis oleh orang kecil itulah dia seperti orang gila menunggang pecut motornya ketika ini. 



Sebelumnya...


"Umi,dah siap sayang? Jom! Sudahla, jangan menangis lagi emm?" Pujuk Sarah. Dia tahu Umi sangat sedih sekarang. Di rumah itu ada kenangannya bersama ayah tercinta. Di rumah itulah Umi dibesarkan dengan kasih sayang ibu dan ayah.

"Tapi mama, Umi suka tinggal kat sini. Kat sini ada kawan-kawan Umi. Nanti pasti mereka cari Umi." Umi merayu supaya mamanya tidak jadi berpindah. 

"Umi sayang, mama tak cukup duit nak bayar duit sewa. Mana boleh tinggal kat sini kalau tak bayar. Jom sayang! Nanti Mak Jah datang mesti dia marah kita lagi. Umi nak Mak Jah marah kita lagi?" Tanya Sarah.

Umi menggeleng cepat-cepat. Sedangkan orang dewasa pun takut dengan orang tua itu. Inikan pula Umi si kecil yang boleh saja digoreng jadi lauk oleh Mak Jah yang entah mana perasaan manusianya. 


Dua beranak itu melangkah keluar. Beg pakaian mereka jelas sekali nampak lusuh. Beg yang sudah lama diam di dalam almari Umi itulah satu-satunya beg yang boleh memuatkan pakaian. Dan kerana lama sudah tidak dipakai, warna kehitamannya sedikit menukar ke kelabu asap. Kali terakhir beg itu digunakan pun sewaktu arwah Zaidi pergi ke Kelantan atas urusan kerja. Beg itu jugalah satu-satunya teman dan saksi utama kematian arwah di Jalan Kota Bharu-Gua Musang Disember lepas. 


"Dia ditinggalkan sendirian di jalanan. Jalan itu basah dengan darah yang dicampur air hujan yang sudah lama meresap. Kereta tidak banyak yang lalu malam itu. Yang ada cuma bayu malam yang menghisap peluh, Selembar jalan tempat arwah lena, kumpulan tumbuhan hijau yang banyak tinggal menetap di tepi jalan situ dan saya sendiri sebuah beg yang memerhatikan pemilik kenderaan itu berlalu pecut meninggalkan tuan saya (arwah Zaidi dilanggar lari)." 

Jika beg boleh berkata-kata, itulah keterangan yang akan diberikan. 


Sampai sekarang pihak polis masih belum menemukan apa-apa klu yang menjurus kepada suspek utama. Orang jahat itu seperti boleh hilang apabila dicari. Malah menyerupai orang lain pula apabila ditemui. Jadi semuanya kabur. Tiada bukti. Tiada saksi. Hari itu sewaktu arwah terbujur kaku di katil wad, Doktor George Paul memanggil Sarah ke biliknya. Doktor itu menjelaskan keadaan tenat arwah dan katanya sekiranya arwah cepat diselamatkan dan dibawa ke hospital lebih awal peratusan untuk arwah hidup adalah tinggi. 


Mereka berjalan lambat-lambat. Seperti ada gam kuat pada kasut yang melekat erat pada lantai simen. Meninggalkan rumah itu terasa berat. Sebaik sahaja mereka menghampiri pintu lif untuk turun, Umi berhenti dan berpaling ke belakang seraya menunjukkan sesuatu. Jari telunjuk tangannya yang kecil itu memimpin mata mamanya ke suatu sudut. Nun jauh di sana kelihatan satu pintu rumah yang tertutup rapat lagi sepi. Orang di dalamnya sedang tidur untuk didatangi pagi-pagi ini. 


"Tunggu kejap ya mama. Umi nak pergi jumpa pak cik. Nak salam tangan dia sebelum pergi. Bolehkan mama?" Umi meminta izin untuk keinginannya.


"Oh, rindukan pak cik ya. Emm, pergilah cepat. Mama tunggu di sini saja. Jangan lama-lama tau!" Kata-kata ibu tunggal ini menggembirakan sedikit hati anak kecilnya.


Umi maju ke pintu rumah pak cik kesayangannya. Diketuk-ketuk pintu itu berulang kali. Namun tidak juga dibuka. Umi sedih. Diketuk-ketuknya lagi. Masih sama. 


"Umi, cepat!" Mamanya sudah memanggil.


Umi lantas mengeluarkan buku nota kecil dari beg sekolahnya dan menulis sesuatu.


"Ya,sekejap mama. Umi datang ni." Berlari Umi mendapatkan mamanya yang sudah menunggu.


Selesai pada : Tuesday, August 3, 2010 at 8:31pm

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum! :)