Tuesday, 16 August 2011















"Dunia itu bangkai yang membusuk. Di atasnya terdapat anjing-anjing yang ingin memperolehnya. Apabila kamu menjauhinya, nescaya kamu selamat. Dan jika kamu menariknya, nescaya kamu disenangi anjing-anjingnya."


Monday, 15 August 2011

Adam (Bahagian 3)

Pagi ini sejuknya melingkar
merawat yang sakit.

Pagi ini merubah segalanya
yang gugur lahir yang baru
yang baru sudah menumbuh gigi usia
yang hidup lama sudah meninggal.


Pagi ini,
ada yang melewati bangunan itu
perasaan yang tidak lagi tenang
sesuatu yang rasanya telah hilang
baju biru sudah kosong dari gantungan.

ke manakah dia???
Dia sudah terbang tinggikah mengikut telunjuk angin?



Adam tersenyum. Juga kecewa. Tulisan itu buat si baju biru yang rupanya indah laksana bulan purnama (nanti aku ceritakan kisah selanjutnya). Dia menulis dengan menceritakan kisah hati kecilnya. Semenjak Julia berangkat ke Jakarta, dia begitu tekun menulis tentang perwatakan si pemakai baju biru. Kadang-kadang dia suka. Tiba-tiba kecewa. Satu masa dia merindu. Semua itu bercampur aduk menimbulkan angau.


Helaian kertas itu telah tertanggal dari buku log coklat. Selalunya tulisan-tulisan tangannya akan sentiasa tidur lena dalam jagaan buku log coklat. Adam jadi hairan. Dia lantas mencari buku tersebut dan menyimpan semula helaian kertas yang terpisah dari ibunya itu. Pada mulanya Adam menjangkakan helaian kertas tadi adalah kertas duit atau cek barangkali. Jika benar dia pasti boleh menolong keluarga Umi. Si Kecil itu lebih dipentingkan dari dirinya. Dia juga menimpa nasib yang sama sebenarnya. Esok dia akan dihalau keluar oleh Mak Jah. Dia faham benar panas baran orang tua yang gempal badannya itu. Mak Jah sering memarahi,mencaci dan menghina kehidupan barunya yang tak terurus, sering berkurung diri di rumah, tak bekerja dan yang paling penting yang menyebabkan darah Mak Jah meluap-luap adalah - BAYARAN SEWA BULAN FEBRUARI (RM 300). Lelaki malang itu pasrah. Jarum jam selalu cepat berputar. Hairan. Padahal mesin masa yang bertunjangkan kuasa bateri ini tidaklah laju mana. Sebenarnya manusia sendiri yang lewat. Bila lapang disempitkan dengan kerja bukan-bukan dan bila sudah merasakan sempit mulalah menyesal tak sudah. Maka benarlah masa itu cepat. Pantas. Adam tidur tepat pukul 12:15 pagi 1 hari bulan Mac.



Hero baru! - Si Gagah Matahari 
1 Mac 2009, Sebuah rumah setinggan di pinggiran kota



Selamat pagi! Hari mulai siang. Matahari terbit perlahan-lahan. Kokokan ayam jantan kuat menghiburkan. Alam pagi yang masih baru untuk hari cuti: Ahad. Para ibu kebanyakannya sedang berjemuran kain waktu ini. Kainnya menompok terlalu banyak dicampur baju, seluar, coli, seluar dalam dan bermacam-macam jenis kain. Lagi-lagi yang anaknya ramai. Kadang-kadang hairan melihat ibu yang lagaknya seperti jaguh gusti. Kuat, larat, boleh mengangkat berat dan macam tak penat. Adakah ibu selalu membesarkan otot tangannnya di gimnasium?


Pagi ini, ada yang sudah bangun, masih mamai dan berair-liur basi. Ada yang masih lagi lena berdengkur-bunyinya sumbang. Ada yang mimpi kebasahan dan ada yang tidur seumpama benar-benar dia mati. Lebih mengejutkan apabila tidur berselimutkan kain putih yang cukup panjangnya seperti kain kafan itu. Mengerikan. Ibu yang melihat anaknya tidur sebegitu pasti risau dan selepas itu semestinya akan membebel marah. Bayangkan saja sesusuk tubuh yang sudah siap dimandikan dan dikafankan tersedia di atas katil. Cuma perlu solat dan menanti talqin dan liang lahad sahaja lagi. Begitulah sehari-hari di rumah setinggan beratapkan zink karat itu. 


Rumah itu warnanya hijau cair. Struktur warnanya juga banyak mencair. Ada sedikit-sedikit tompok putih yang berkelompok di sana sini. Saiznya tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil. Sederhana tetapi sentiasa riuh. Seperti sebuah kapal lanun yang di dalamnya anak-anak kapal HOOK berpesta ria meraikan tertangkapnya PETER PAN. Di dalam rumah itu tinggal seorang ibu yang gigih membesarkan tujuh orang anaknya. Dalam angka tujuh tersebut satu sahaja yang ganjil. Dia adalah wali untuk adik-adik dan kakaknya. Satu-satunya lelaki di rumah itu kuat bekerja menolong ibunya mencari duit setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan begitulah tahun-tahun mendatang. Dia anak kedua daripada tujuh orang adik beradiknya.


Pagi-pagi lagi lelaki harapan ibu itu sudah keluar mengabdikan kudratnya demi wang. Kerana wang dia harus berlumba dengan si gagah matahari. Dia akan memastikan di pasar borong itu hanya ada dia dan Tauke Kong sahaja setiap pagi. Si matahari mesti berada di belakangnya. Jika dia kalah bererti dia akan dimarahi. Bekerja dengan Tauke Kong memerlukan kejujuran dan disiplin yang tinggi. Setiap pagi Mamat harus sampai seawal 6.30 pagi dan baliknya nanti pula pukul 6.30 petang. "Besok ali Jangan lewat ha Mamat! Esok itu stok balu sampai wo. Mau angkat itu ikan masuk kotak." Tauke Kong mengingatkan. Telinga Mamat sudah bosan mendengar kata-kata seorang tauke ikan kembong. Baginya semua tauke di pasar itu sama gilanya dengan Tauke cina itu.


Begitulah hari-hari anak muda yang bernama Mamat ini. Walaupun tubuhnya sudah terlalu busuk dengan bau-bauan ikan kembong, sudah terlalu kurus untuk menyertai sukan ragbi dan sudah terlalu hitam kulit kasarnya, dia adalah hero keluarga susah ini. Ada satu ketika Mamat terdengar perbualan ibu bersama adik-adik kecilnya yang dua orang itu di dapur. Waktu itu si ibu sedang menyiapkan hidangan sarapan pagi mereka sekeluarga. Ragam mereka sedikit mengubat dirinya yang letih lesu ketika itu. Pada mulanya melucukan dan akhirnya mendewasakan. Dia sangat terkesan pada kata-kata ibunya tentang hero. Hero pada mata Anis ialah Spiderman si labah-labah merah. Mira pula Batman si kelawar hitam. Manakala dia pula si kurus hitam adalah hero kuat Si Gagah Matahari yang diagung-agungkan ibunya kepada adik-adik; Anis dan Mira. Dia sangat jelas memahami erti hero yang dimaksudkan ibunya itu. Ianya adalah sebaris kata-kata Uncle Ben kepada Peter Parker :


"With great power, comes great responsibility."


"Ibu ibu, betulkah Superman itu lagi kuat dari Spiderman? Superman boleh terbang. Boleh angkat kapal terbang dan matanya ada api. Betul bu." Anis keliru tentang superhero kegemarannya. Dia cuba meyakinkan ibunya.


"Taklah. Mira tahu sape paling kuat. Mira suka Batman. Batman ada kereta cantik tau!" Mira tidak mengalah. Dua anak itu sahajalah yang terlalu asyik dengan hero-hero kartun mereka.

"Mira dan Anis nak tahu tak siapa yang lebih kuat dari Spiderman dan Batman itu?"

"Nak bu! siapa dia bu?" Anis dan Mira serentak bertanya. Mereka bingung tentang hero baru yang akan diperkatakan si ibu. Mungkin hero itu akan menewaskan Batman dan Spiderman dengan kuasa saiya. Atau dia adalah kenderaan robot seperti Optimus Prime Merah yang besar itu. Kalau si Popeye yang selalu makan bayam hijau tin itu jauh sekali.


"Hero ini kuat orangnya. Dia cuma orang-orang biasa saja. Orang itu adalah abang kamu sendiri nak." Si ibu menukar nada cakapnya. Tidak lagi berbentuk 'suprise' seperti tadi. Kali ini ada air jernih pada matanya yang tua itu. Air itu turun perlahan sekali. Mengalir seperti tidak rela. Sayu.


"Ha! Abang Mamat ke bu? Tapi abang Mamat tu..." Anis terdiam. Mira langsung membisu. Melihat seorang ibu menangis adalah salah satu detik yang paling merisaukan. Melihat ibu menangis seperti tandanya bumi ini akan hancur lebur menimpa kita lumat-lumat. Kerana tangisan suci si ibu itu seperti doa yang akan memanggil malapetaka dari langit untuk mengejangkan kaki Tanggang dan akhirnya mengeras disihir menjadi batu. Ibu itu ada syurga untuk anak-anaknya. 


Si ibu itu sangat kagum akan kejujuran dan sifat tanggungjawab Mamat sebagai kepala keluarga. Walhal anak lelaki itu baru saja berumur 17 tahun yang pada ketika ini kawan-kawannya sedang sibuk mencari kelas tuisyen semata-mata untuk melihat angka 'A' disusun sederet ke bawah pada Sijil Pelajaran Malaysia. Bukankah jika kita bersusaha keras tanpa mengharapkan kelas tuisyen pun kita boleh membanggakan orang tua dengan hasil yang cemerlang? Tetapi syaratnya harus rajin-rajinlah belajar dan mesti berdoa di samping memohon restu ibu. Minta ibu mendoakan. Insyaallah, berjaya. 


Mamat tidak pernah merungut kenapa dia tidak disekolahkan. Yang dia tahu: kerja,duit,bangun pagi dan ikan kembong. Dalam fikirannya setiap wang yang diterima dari tauke Kong harus sampai kepada keperluan manusia-manusia yang hidup subur dihatinya. Manusia-manusia itu adalah ibu, kakak dan adik-adiknya yang masih bersekolah. Dia berbelanja tidak seperti remaja-remaja lain seusianya. Wang bukan untuk membeli seluar jean Levis. Wang juga bukan untuk membeli kasut bola Adidas. Wang untuk dia nilai sebelum tersalah beli dengan memandang keperluan sebelum kehendak. Kehendak itu memang sentiasa ada dan tak pernah puas. Berbeza dengan keperluan. Keperluan memastikan seseorang itu sentiasa bernafas sihat dan tidur lena tanpa gangguan. Dan dia memilih keperluan. Kehendaknya ditanam dalam-dalam di bawah hati yang paling dalam. Suatu hari nanti dia akan mengambilnya semula.


"Bu, Mamat pergi kerja dulu ya. Assalamualaikum." Mamat memaniskan mukanya dan mencium tangan ibunya penuh hormat. 


Suara itu masih terngiang-ngiang dan seperti baru sahaja diucapkan sedangkan selepas subuh tadi ianya bersuara. Si ibu itu mengelamun jauh mengenangkan Mamat sehinggakan dia terlupa akan anak satunya yang bernama Nur Dahlia.




Selesai pada : Saturday, June 26, 2010 at 12:52pm

Sisa di medan tempur


















letakkan pistol egomu 
hentikan semua yang telah kau lacuri
banyakkah peluru dendammu
oh! kau bunuh yang tak berdosa

pandai kau bermain kata dusta!
kau cipta bukti dan saksi
media jadi abdimu
perintah apa saja tak diingkar

Oh dunia bangkitlah
lihatlah saudaramu
sakit dan juga mati
nyawa mohon simpati
untuk mereka perjuangkanlah maruah keamanan

menangis si anak kecil ini
dicari ibu yang telah mati
tak dapat dia bezakan antara darah dan lumpur

sang suria telah pergi, bosan
sang rembulan tak tenteram
gelita masih ada letupan
tak sunyi malam yang dingin..

Oh dunia bangkitlah
lihatlah saudaramu
sakit dan juga mati
nyawa mohon simpati
untuk mereka perjuangkanlah maruah keamanan

anak kecil
anak kecil
anak kecil
anak kecil.....

Oh dunia bangkitlah
lihatlah saudaramu
sakit dan juga mati
nyawa mohon simpati
untuk mereka perjuangkanlah maruah keamanan

Oh tuhan tolonglah
kasihankan mereka
walau syahid matinya
terangkanlah dunia
sesungguhnya kemenangan milik kebenaran

"Ketika kamu lahir, kamu menangis dan orang di sekelilingmu tersenyum. Jalanilah kehidupanmu sehingga nanti, ketika kamu mati, kamu tersenyum dan orang di sekelilingmu menangis."


Malaikat Kecil

Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”.

Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”.

Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”.

Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”.

Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”.

Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut.

Namun keadaan di situ lengang.

Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu.

Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan.

Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.

Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi.

Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka. Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan.

Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik.

Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata,

“Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya,

“Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker,

“Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.”

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya.

Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi. Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat.

Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini?

Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”.

Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat. Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya.

Budak itu tersenyum.

Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel.

“Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi.

Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka.

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata.

Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAHU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya.


Filem : Children of Heaven


‘Children Of Heaven’ mengisahkan kepayahan hidup Ali dan adiknya Zahra yang dibesarkan dalam keluarga miskin di Iran. Kisah bermula apabila Ali secara tidak sengaja kehilangan kasut adiknya yang diambil dari tukang kasut. Ali berpakat dengan Zahra untuk merahsiakan perkara tersebut dari pengetahuan ibu bapa mereka dengan membuat perancangan yang akhirnya merumitkan mereka. Ali dan Zahra sedar ibu bapa mereka sedang dihimpit masalah kewangan dan tidak mampu membelikan sepasang kasut baru untuk Zahra sebagai ganti kasutnya yang hilang. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Ali memasuki satu pertandingan dengan harapan memenangi hadiah sepasang kasut.

Sunday, 14 August 2011

Adam (Bahagian 2)

Dia mati akal. Mati segalanya untuk terus menulis. Tulisan tangan sebentar tadi sengaja dinoktahkan tak berpenghujung. Masih samar untuk menilai kewarasan tulisannya yang sentiasa bernada sayu ibarat menghayati nyanyian berhantu Dato' Siti - Lagu Cindai. Dia sering melukis perasaannya yang resah dan jiwanya yang murung di dalam buku log coklatnya. Karyanya bukanlah sehebat Lim Swee Tin mahupun penggiat sastera lainnya. Dia gila. Dia tak berteman sejak ditinggalkan gadis pujaan hati yang buruk hitam seumpama binatang buas yang kelaparan. Gadis itu hanya cantik pada kulitnya yang gebu dan rambutnya yang panjang mengurai. Hakikatnya dia adalah pontianak yang bernafas di siang hari. Mencari jantan mahukan darah! Sesudah kenyang lari mengilai gembira.

Petang itu Adam tak kemana-mana. Sendirian di rumah. Lagu 'The Chemistry (between us) - Butterfingers' membisingkan segenap penjuru rumah lama itu. Ibu bapanya sudah lama meninggal di kampung. Sebatang kara ini berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa bulan setelah kematian orang tuanya. Dia telah mempunyai pekerjaan tetap baru tiga bulan di Kuala Lumpur. Memang sudah rezekinya mempunyai pendapatan tetap minimum ringgit Malaysia satu ribu. Dan kerana gadis keparat itu habis semua wang gajinya dihabiskan tanpa menyesal sedikit pun. Kata orang bila bercinta angin kentut pun wangi bila dicium. Dan begitu jugalah dia yang dibutakan,dipekakkan,dan dibisukan dengan sihir cinta Julia. Dia adalah tikus curut invensi Makmal Cinta Julia. Wang ringgitnya kini sudah tinggal syiling-syiling yang kebanyakannya bersaiz kecil-kecil. Dia diberhentikan kerja kerana sering masuk lewat dan berangan sewaktu bertugas. Akal warasnya sudah terlalu terhad untuk menerima informasi-informasi terkini apa yang berlaku di sekeliling. Semenjak itulah dia hanya berkurung di rumah sewanya yang tinggal hanya satu hari lagi sahaja sebelum dia diarahkan pindah oleh Mak Jah;Tuan punya rumah.

Mak Jah memang terkenal dengan perangainya yang pantang ditangguh-tangguhkan pembayaran sewanya. Semua penyewa rumah harus membayar tepat hujung bulan dan jika tidak pada hari itu jugalah orang yang mendiami rumah sewanya itu dihalau keluar tanpa belas kasihan. "Mak jah jahat! Tak sian kat umi dengan mama ke? Bagilah sehari dua lagi untuk bayar duit Mak Jah tu." Nangis si Umi Nabila, si kecil cantik yang cerdik itu. Umurnya boleh sahaja dikira dengan satu tangan namun neuron-neuron otaknya yang luar biasa itu sangat luar biasa. Yang pastinya jumlahnya lebih hebat dari usia mudanya. Si kecil yang selalu diberikan gula-gula lolipop oleh Adam bila sahaja pulang dari tempat kerjanya dahulu itu sangat kenal akan Adam. Baginya Adam seperti ayahnya sendiri. Juga teman waktu lapangnya pada hari-hari cuti kerana Umi sering ke rumah pada hujung minggu untuk belajar mewarna dari Adam. Adam bukanlah hebat dalam seni visual. Cuma dia mempunyai minat yang mendalam dalam semua aspek yang ada kaitannya dengan seni. Dia adalah pencinta seni dan pembenci Julia - Gadis bangsat! 

Umi Nabila tinggal bersama ibunya sudah lama di situ. Sebelum-sebelum ini wang sewa dibayar tepat pada waktunya. Cuma baru-baru ini ibunya yang berjualan nasi lemak dan kuih-muih di gerai usang itu tidak sihat seperti dulu lagi. Sarah batuk-batuk semenjak minggu lepas. Hasil jualan telah habis digunakan untuk persekolahan Umi dan ubat batuk yang mahalnya tak sedondon mujarabnya. Sarah merayu simpati daripada Mak Jah supaya memberikan tempoh beberapa hari lagi untuk menjelaskan hutangnya. Si kecil Umi masih lagi menangis tersedu-sedu. Mak Jah masih berkeras dengan pendiriannya. Yang dilihat di hadapan matanya bukanlah untuk dikasihankan, malah yang dilihatnya pada dua beranak itu hanyalah nilai ringgit semata-mata. "Habis tu kau ingat aku ni apa!? Aku pun makan nasi. Kalau duit takde nak makan apa hah!? Hei umi, diamlah! Sakit telinga aku tahu tak dengar kau menangis camni. Sudah-sudah. Aku bagi kau dua beranak sampai esok saja paham! Pagi esok aku datang lagi dan kalau duit tu tiada juga berambus korang! Paham!!!?" Mak Jah memberi tempoh. Sebenarnya telinganya yang besar itu sudah tak tahan lagi terus-terusan mendengar tangisan nyaring si kecil itu. Tangisan yang sama sepertinya bunyi wisel mainan yang jika dihembus kuat berulang-ulang. Bising. Sarah mengangguk faham dan berterima kasih. Dia memeluk Umi erat-erat dan menangis bersama kesayangannya senja itu. Mereka memerhatikan sahaja kelibat Mak Jah yang beransur-ansur hilang di sebalik sisi bangunan itu. Pintu masih dibiarkan terbuka. Tangisan mereka mebasahkan senja yang kering gersang itu. Beberapa minit sahaja lagi Maghrib akan melaungkan perintah Dia yang Maha Memerhati.

Adam yang sedari tadi memerhatikan jirannya itu berasa sungguh malu akan nasibnya sendiri. Sudahlah tak bekerja, tak berduit dan semua yang buruk ada pada diri barunya itu. Dia kasihan melihat Umi menangis sebentar tadi. Dia tahu Umi terlalu muda untuk memikirkan soal wang yang selalu menipu mata manusia ini. Umi sepatutnya memikirkan hasil lukisan kucing yang baru diajar mewarna semalam atau bermain sahaja bersama teman di taman. Layang-layang, guli, teng-teng, anak patung, batu seremban atau congkak; itu yang harus ada pada kanak-kanak seusianya. Adam meraba saku seluarnya. Dia hairan ada sehelai kertas di dalam saku kiri seluarnya itu. Dia mengeluarkan helaian kertas itu.


Selesai pada : Thursday, June 17, 2010 at 12:45pm

Wo Ai Ni Allah

Bagaimana rasanya hidup dalam kehampaan jiwa, rohani dan sosial? Pada saat kita sedang mencari Tuhan, pada saat itu juga terasa Tuhan meninggalkan kita sendiri, sendiri dalam masyarakat yang memandang sepi. Itu kisah yang diperjuangkan dalam novel ini, kisah seorang gadis Cina ateis, yang tidak tahu ke mana hala hidupnya. Namun pada saat kecelaruan itu dia mengerti bahawa kecelaruan itu bukan datang begitu sahaja, pasti ada yang menciptanya, dan pasti ada sebabnya. Dalam mencari punca kecelaruan itu, akhir bertemu apa itu Tuhan. Wo Ai Ni, Allah... aku cinta Allah... tutur gadis itu pada saat dia mengerti siapa Tuhannya.

Amei Chan

dia menatap awan biru
dia tak mengerti maksudku
apa yang ada di dunia pasti ada yang punya

dia mendengar yang di bawah
katanya ada kehidupan
dia tak kan mudah lelah
Tuhan tunjukkan jalan

dan bila
ayahnya jatuh rebah ke tanah
air mata bercucuran
mengalir hiba di pipinya

sendirian di jalanan
tak berteman dirinya

mencari Tuhan
Tuhan tunjukkan jalan.


Sebuah lagu yang ditulis mengenai watak amei di dalam novel Wo Ai Ni Allah.


6 Questions!

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

1) Beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab : "Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185.

2) Beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab : " negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

3) Beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179

4) Beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab : " besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

5) Beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab : " Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

6) Beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab: ''Pedang". Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Sumber : http://www.facebook.com/notes/islam-itu-agamaku/-enam-pertanyaan-imam-ghazali-/158721680827750