merawat yang sakit.
Pagi ini merubah segalanya
yang gugur lahir yang baru
yang baru sudah menumbuh gigi usia
yang hidup lama sudah meninggal.
Pagi ini,
ada yang melewati bangunan itu
perasaan yang tidak lagi tenang
sesuatu yang rasanya telah hilang
baju biru sudah kosong dari gantungan.
ke manakah dia???
Dia sudah terbang tinggikah mengikut telunjuk angin?
perasaan yang tidak lagi tenang
sesuatu yang rasanya telah hilang
baju biru sudah kosong dari gantungan.
ke manakah dia???
Dia sudah terbang tinggikah mengikut telunjuk angin?
Adam tersenyum. Juga kecewa. Tulisan itu buat si baju biru yang rupanya indah laksana bulan purnama (nanti aku ceritakan kisah selanjutnya). Dia menulis dengan menceritakan kisah hati kecilnya. Semenjak Julia berangkat ke Jakarta, dia begitu tekun menulis tentang perwatakan si pemakai baju biru. Kadang-kadang dia suka. Tiba-tiba kecewa. Satu masa dia merindu. Semua itu bercampur aduk menimbulkan angau.
Helaian kertas itu telah tertanggal dari buku log coklat. Selalunya tulisan-tulisan tangannya akan sentiasa tidur lena dalam jagaan buku log coklat. Adam jadi hairan. Dia lantas mencari buku tersebut dan menyimpan semula helaian kertas yang terpisah dari ibunya itu. Pada mulanya Adam menjangkakan helaian kertas tadi adalah kertas duit atau cek barangkali. Jika benar dia pasti boleh menolong keluarga Umi. Si Kecil itu lebih dipentingkan dari dirinya. Dia juga menimpa nasib yang sama sebenarnya. Esok dia akan dihalau keluar oleh Mak Jah. Dia faham benar panas baran orang tua yang gempal badannya itu. Mak Jah sering memarahi,mencaci dan menghina kehidupan barunya yang tak terurus, sering berkurung diri di rumah, tak bekerja dan yang paling penting yang menyebabkan darah Mak Jah meluap-luap adalah - BAYARAN SEWA BULAN FEBRUARI (RM 300). Lelaki malang itu pasrah. Jarum jam selalu cepat berputar. Hairan. Padahal mesin masa yang bertunjangkan kuasa bateri ini tidaklah laju mana. Sebenarnya manusia sendiri yang lewat. Bila lapang disempitkan dengan kerja bukan-bukan dan bila sudah merasakan sempit mulalah menyesal tak sudah. Maka benarlah masa itu cepat. Pantas. Adam tidur tepat pukul 12:15 pagi 1 hari bulan Mac.
Hero baru! - Si Gagah Matahari
1 Mac 2009, Sebuah rumah setinggan di pinggiran kota
Selamat pagi! Hari mulai siang. Matahari terbit perlahan-lahan. Kokokan ayam jantan kuat menghiburkan. Alam pagi yang masih baru untuk hari cuti: Ahad. Para ibu kebanyakannya sedang berjemuran kain waktu ini. Kainnya menompok terlalu banyak dicampur baju, seluar, coli, seluar dalam dan bermacam-macam jenis kain. Lagi-lagi yang anaknya ramai. Kadang-kadang hairan melihat ibu yang lagaknya seperti jaguh gusti. Kuat, larat, boleh mengangkat berat dan macam tak penat. Adakah ibu selalu membesarkan otot tangannnya di gimnasium?
Pagi ini, ada yang sudah bangun, masih mamai dan berair-liur basi. Ada yang masih lagi lena berdengkur-bunyinya sumbang. Ada yang mimpi kebasahan dan ada yang tidur seumpama benar-benar dia mati. Lebih mengejutkan apabila tidur berselimutkan kain putih yang cukup panjangnya seperti kain kafan itu. Mengerikan. Ibu yang melihat anaknya tidur sebegitu pasti risau dan selepas itu semestinya akan membebel marah. Bayangkan saja sesusuk tubuh yang sudah siap dimandikan dan dikafankan tersedia di atas katil. Cuma perlu solat dan menanti talqin dan liang lahad sahaja lagi. Begitulah sehari-hari di rumah setinggan beratapkan zink karat itu.
Rumah itu warnanya hijau cair. Struktur warnanya juga banyak mencair. Ada sedikit-sedikit tompok putih yang berkelompok di sana sini. Saiznya tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil. Sederhana tetapi sentiasa riuh. Seperti sebuah kapal lanun yang di dalamnya anak-anak kapal HOOK berpesta ria meraikan tertangkapnya PETER PAN. Di dalam rumah itu tinggal seorang ibu yang gigih membesarkan tujuh orang anaknya. Dalam angka tujuh tersebut satu sahaja yang ganjil. Dia adalah wali untuk adik-adik dan kakaknya. Satu-satunya lelaki di rumah itu kuat bekerja menolong ibunya mencari duit setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan begitulah tahun-tahun mendatang. Dia anak kedua daripada tujuh orang adik beradiknya.
Pagi-pagi lagi lelaki harapan ibu itu sudah keluar mengabdikan kudratnya demi wang. Kerana wang dia harus berlumba dengan si gagah matahari. Dia akan memastikan di pasar borong itu hanya ada dia dan Tauke Kong sahaja setiap pagi. Si matahari mesti berada di belakangnya. Jika dia kalah bererti dia akan dimarahi. Bekerja dengan Tauke Kong memerlukan kejujuran dan disiplin yang tinggi. Setiap pagi Mamat harus sampai seawal 6.30 pagi dan baliknya nanti pula pukul 6.30 petang. "Besok ali Jangan lewat ha Mamat! Esok itu stok balu sampai wo. Mau angkat itu ikan masuk kotak." Tauke Kong mengingatkan. Telinga Mamat sudah bosan mendengar kata-kata seorang tauke ikan kembong. Baginya semua tauke di pasar itu sama gilanya dengan Tauke cina itu.
Begitulah hari-hari anak muda yang bernama Mamat ini. Walaupun tubuhnya sudah terlalu busuk dengan bau-bauan ikan kembong, sudah terlalu kurus untuk menyertai sukan ragbi dan sudah terlalu hitam kulit kasarnya, dia adalah hero keluarga susah ini. Ada satu ketika Mamat terdengar perbualan ibu bersama adik-adik kecilnya yang dua orang itu di dapur. Waktu itu si ibu sedang menyiapkan hidangan sarapan pagi mereka sekeluarga. Ragam mereka sedikit mengubat dirinya yang letih lesu ketika itu. Pada mulanya melucukan dan akhirnya mendewasakan. Dia sangat terkesan pada kata-kata ibunya tentang hero. Hero pada mata Anis ialah Spiderman si labah-labah merah. Mira pula Batman si kelawar hitam. Manakala dia pula si kurus hitam adalah hero kuat Si Gagah Matahari yang diagung-agungkan ibunya kepada adik-adik; Anis dan Mira. Dia sangat jelas memahami erti hero yang dimaksudkan ibunya itu. Ianya adalah sebaris kata-kata Uncle Ben kepada Peter Parker :
"With great power, comes great responsibility."
"Ibu ibu, betulkah Superman itu lagi kuat dari Spiderman? Superman boleh terbang. Boleh angkat kapal terbang dan matanya ada api. Betul bu." Anis keliru tentang superhero kegemarannya. Dia cuba meyakinkan ibunya.
"Taklah. Mira tahu sape paling kuat. Mira suka Batman. Batman ada kereta cantik tau!" Mira tidak mengalah. Dua anak itu sahajalah yang terlalu asyik dengan hero-hero kartun mereka.
"Mira dan Anis nak tahu tak siapa yang lebih kuat dari Spiderman dan Batman itu?"
"Nak bu! siapa dia bu?" Anis dan Mira serentak bertanya. Mereka bingung tentang hero baru yang akan diperkatakan si ibu. Mungkin hero itu akan menewaskan Batman dan Spiderman dengan kuasa saiya. Atau dia adalah kenderaan robot seperti Optimus Prime Merah yang besar itu. Kalau si Popeye yang selalu makan bayam hijau tin itu jauh sekali.
"Hero ini kuat orangnya. Dia cuma orang-orang biasa saja. Orang itu adalah abang kamu sendiri nak." Si ibu menukar nada cakapnya. Tidak lagi berbentuk 'suprise' seperti tadi. Kali ini ada air jernih pada matanya yang tua itu. Air itu turun perlahan sekali. Mengalir seperti tidak rela. Sayu.
"Ha! Abang Mamat ke bu? Tapi abang Mamat tu..." Anis terdiam. Mira langsung membisu. Melihat seorang ibu menangis adalah salah satu detik yang paling merisaukan. Melihat ibu menangis seperti tandanya bumi ini akan hancur lebur menimpa kita lumat-lumat. Kerana tangisan suci si ibu itu seperti doa yang akan memanggil malapetaka dari langit untuk mengejangkan kaki Tanggang dan akhirnya mengeras disihir menjadi batu. Ibu itu ada syurga untuk anak-anaknya.
Si ibu itu sangat kagum akan kejujuran dan sifat tanggungjawab Mamat sebagai kepala keluarga. Walhal anak lelaki itu baru saja berumur 17 tahun yang pada ketika ini kawan-kawannya sedang sibuk mencari kelas tuisyen semata-mata untuk melihat angka 'A' disusun sederet ke bawah pada Sijil Pelajaran Malaysia. Bukankah jika kita bersusaha keras tanpa mengharapkan kelas tuisyen pun kita boleh membanggakan orang tua dengan hasil yang cemerlang? Tetapi syaratnya harus rajin-rajinlah belajar dan mesti berdoa di samping memohon restu ibu. Minta ibu mendoakan. Insyaallah, berjaya.
Mamat tidak pernah merungut kenapa dia tidak disekolahkan. Yang dia tahu: kerja,duit,bangun pagi dan ikan kembong. Dalam fikirannya setiap wang yang diterima dari tauke Kong harus sampai kepada keperluan manusia-manusia yang hidup subur dihatinya. Manusia-manusia itu adalah ibu, kakak dan adik-adiknya yang masih bersekolah. Dia berbelanja tidak seperti remaja-remaja lain seusianya. Wang bukan untuk membeli seluar jean Levis. Wang juga bukan untuk membeli kasut bola Adidas. Wang untuk dia nilai sebelum tersalah beli dengan memandang keperluan sebelum kehendak. Kehendak itu memang sentiasa ada dan tak pernah puas. Berbeza dengan keperluan. Keperluan memastikan seseorang itu sentiasa bernafas sihat dan tidur lena tanpa gangguan. Dan dia memilih keperluan. Kehendaknya ditanam dalam-dalam di bawah hati yang paling dalam. Suatu hari nanti dia akan mengambilnya semula.
"Bu, Mamat pergi kerja dulu ya. Assalamualaikum." Mamat memaniskan mukanya dan mencium tangan ibunya penuh hormat.
Suara itu masih terngiang-ngiang dan seperti baru sahaja diucapkan sedangkan selepas subuh tadi ianya bersuara. Si ibu itu mengelamun jauh mengenangkan Mamat sehinggakan dia terlupa akan anak satunya yang bernama Nur Dahlia.
Selesai pada : Saturday, June 26, 2010 at 12:52pm
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum! :)