Dia mati akal. Mati segalanya untuk terus menulis. Tulisan tangan sebentar tadi sengaja dinoktahkan tak berpenghujung. Masih samar untuk menilai kewarasan tulisannya yang sentiasa bernada sayu ibarat menghayati nyanyian berhantu Dato' Siti - Lagu Cindai. Dia sering melukis perasaannya yang resah dan jiwanya yang murung di dalam buku log coklatnya. Karyanya bukanlah sehebat Lim Swee Tin mahupun penggiat sastera lainnya. Dia gila. Dia tak berteman sejak ditinggalkan gadis pujaan hati yang buruk hitam seumpama binatang buas yang kelaparan. Gadis itu hanya cantik pada kulitnya yang gebu dan rambutnya yang panjang mengurai. Hakikatnya dia adalah pontianak yang bernafas di siang hari. Mencari jantan mahukan darah! Sesudah kenyang lari mengilai gembira.
Petang itu Adam tak kemana-mana. Sendirian di rumah. Lagu 'The Chemistry (between us) - Butterfingers' membisingkan segenap penjuru rumah lama itu. Ibu bapanya sudah lama meninggal di kampung. Sebatang kara ini berhijrah ke Kuala Lumpur beberapa bulan setelah kematian orang tuanya. Dia telah mempunyai pekerjaan tetap baru tiga bulan di Kuala Lumpur. Memang sudah rezekinya mempunyai pendapatan tetap minimum ringgit Malaysia satu ribu. Dan kerana gadis keparat itu habis semua wang gajinya dihabiskan tanpa menyesal sedikit pun. Kata orang bila bercinta angin kentut pun wangi bila dicium. Dan begitu jugalah dia yang dibutakan,dipekakkan,dan dibisukan dengan sihir cinta Julia. Dia adalah tikus curut invensi Makmal Cinta Julia. Wang ringgitnya kini sudah tinggal syiling-syiling yang kebanyakannya bersaiz kecil-kecil. Dia diberhentikan kerja kerana sering masuk lewat dan berangan sewaktu bertugas. Akal warasnya sudah terlalu terhad untuk menerima informasi-informasi terkini apa yang berlaku di sekeliling. Semenjak itulah dia hanya berkurung di rumah sewanya yang tinggal hanya satu hari lagi sahaja sebelum dia diarahkan pindah oleh Mak Jah;Tuan punya rumah.
Mak Jah memang terkenal dengan perangainya yang pantang ditangguh-tangguhkan pembayaran sewanya. Semua penyewa rumah harus membayar tepat hujung bulan dan jika tidak pada hari itu jugalah orang yang mendiami rumah sewanya itu dihalau keluar tanpa belas kasihan. "Mak jah jahat! Tak sian kat umi dengan mama ke? Bagilah sehari dua lagi untuk bayar duit Mak Jah tu." Nangis si Umi Nabila, si kecil cantik yang cerdik itu. Umurnya boleh sahaja dikira dengan satu tangan namun neuron-neuron otaknya yang luar biasa itu sangat luar biasa. Yang pastinya jumlahnya lebih hebat dari usia mudanya. Si kecil yang selalu diberikan gula-gula lolipop oleh Adam bila sahaja pulang dari tempat kerjanya dahulu itu sangat kenal akan Adam. Baginya Adam seperti ayahnya sendiri. Juga teman waktu lapangnya pada hari-hari cuti kerana Umi sering ke rumah pada hujung minggu untuk belajar mewarna dari Adam. Adam bukanlah hebat dalam seni visual. Cuma dia mempunyai minat yang mendalam dalam semua aspek yang ada kaitannya dengan seni. Dia adalah pencinta seni dan pembenci Julia - Gadis bangsat!
Umi Nabila tinggal bersama ibunya sudah lama di situ. Sebelum-sebelum ini wang sewa dibayar tepat pada waktunya. Cuma baru-baru ini ibunya yang berjualan nasi lemak dan kuih-muih di gerai usang itu tidak sihat seperti dulu lagi. Sarah batuk-batuk semenjak minggu lepas. Hasil jualan telah habis digunakan untuk persekolahan Umi dan ubat batuk yang mahalnya tak sedondon mujarabnya. Sarah merayu simpati daripada Mak Jah supaya memberikan tempoh beberapa hari lagi untuk menjelaskan hutangnya. Si kecil Umi masih lagi menangis tersedu-sedu. Mak Jah masih berkeras dengan pendiriannya. Yang dilihat di hadapan matanya bukanlah untuk dikasihankan, malah yang dilihatnya pada dua beranak itu hanyalah nilai ringgit semata-mata. "Habis tu kau ingat aku ni apa!? Aku pun makan nasi. Kalau duit takde nak makan apa hah!? Hei umi, diamlah! Sakit telinga aku tahu tak dengar kau menangis camni. Sudah-sudah. Aku bagi kau dua beranak sampai esok saja paham! Pagi esok aku datang lagi dan kalau duit tu tiada juga berambus korang! Paham!!!?" Mak Jah memberi tempoh. Sebenarnya telinganya yang besar itu sudah tak tahan lagi terus-terusan mendengar tangisan nyaring si kecil itu. Tangisan yang sama sepertinya bunyi wisel mainan yang jika dihembus kuat berulang-ulang. Bising. Sarah mengangguk faham dan berterima kasih. Dia memeluk Umi erat-erat dan menangis bersama kesayangannya senja itu. Mereka memerhatikan sahaja kelibat Mak Jah yang beransur-ansur hilang di sebalik sisi bangunan itu. Pintu masih dibiarkan terbuka. Tangisan mereka mebasahkan senja yang kering gersang itu. Beberapa minit sahaja lagi Maghrib akan melaungkan perintah Dia yang Maha Memerhati.
Adam yang sedari tadi memerhatikan jirannya itu berasa sungguh malu akan nasibnya sendiri. Sudahlah tak bekerja, tak berduit dan semua yang buruk ada pada diri barunya itu. Dia kasihan melihat Umi menangis sebentar tadi. Dia tahu Umi terlalu muda untuk memikirkan soal wang yang selalu menipu mata manusia ini. Umi sepatutnya memikirkan hasil lukisan kucing yang baru diajar mewarna semalam atau bermain sahaja bersama teman di taman. Layang-layang, guli, teng-teng, anak patung, batu seremban atau congkak; itu yang harus ada pada kanak-kanak seusianya. Adam meraba saku seluarnya. Dia hairan ada sehelai kertas di dalam saku kiri seluarnya itu. Dia mengeluarkan helaian kertas itu.
Selesai pada : Thursday, June 17, 2010 at 12:45pm
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum! :)