Sunday, 6 July 2014

Misteri

Aku benar-benar berharap episod mimpi semalam bersambung lagi. Bagaimana separuh jiwaku disihirmu. Tunas puisimu yang baru kau tanam telah aku bau harumannya bahkan rela diri ini bersatu. Pengakuanmu pada akhir pertemuan sukar dinafikan walau ada kalanya meragukan di alam wujud.
Marilah ke sini lagi malam nanti...

Tuesday, 25 March 2014

Sejenak

Di kedai mamak
ramai jiwa singgah
ada anak beranak
ada pak tua yang setia pada kopi hitam
ada aku..

boleh saja aku bertanya meja ke meja apa yang dibualkan?
tapi ada qari yang setia entah sejak jam berapa dia mengaji
hairan berapa kuat volume speaker ni

sampai bila kita manusia ni masih islam di masjid atau di rumah? Atau di khalayak orang? Islam itu cara hidup.. Bimbang kita solat berdepan orang dan bukannya Allah, Tuhan sekalian alam. Jauh sekali dari ihsan..

Jelas macam tak ada kaitan pun tulisan aku ni dengan senario kat atas tu.

Ok, selamat menjadi muslim sebenar.
Aku beringat, kau juga. Aku berjaga, kau juga.


Lihatlah

Masih berbaki beberapa minit sebelum pukul 12.

Manusia, eloklah belajar dari alam. Lihat bunga. Lihat pokok. Lihat langit tak bertiang. Bahkan lihatlah jalan raya tempat kau setiap hari berjalan. Menaiki apa? Motor? Kereta atau sekadar berjalan kaki?

Tak cukup untuk aku tulis semuanya di sini kerana tak terbilangnya nikmat Tuhan.

Alhamdulillah...

Saturday, 22 March 2014

Seorang

tak ada lagi cerita
tak ada lagi berita
tak ada lagi bicara

sudah..

bukanlah telah seorang
tapi bersama Tuhan
yang menjadikan, kun fayakun

Sunday, 15 December 2013

Kompas

kau di selatan
aku masih di tengah
kau di utara
aku masih di tengah
kau di timur
aku masih di tengah
kau di barat
aku masih di sini

Tidur yang boleh menghapuskan rasa ini. Walau aku tahu ia tidaklah melupus kerana esok pagi andai nyawa masih dikandung rasa tu menyerang lagi. Mungkin kalau boleh aku panggil tidur tu painkiller.

aku harap jarak ini memihak pada aku. Jauh itu kita. Dekat itu hati.

Tuesday, 10 December 2013

Meninggal dunia

Aku tak pandai menulis pun. Kadang-kadang tulisan yang aku tulis tu tak layak pun digelar puisi. Mungkin ekspresi lebih tepat.

Disember, bulan yang mencurahkan air dari langit cukup banyak sekali tahun ni. Negeri-negeri pantai timur diuji Tuhan dengan banjir yang menenggelamkan harta, rezeki dan nyawa. Hikmah air ni cukup bererti buat orang yang berfikir.

Monsoon.. (Teringat puisi monsoon history waktu sekolah menengah dulu)

Kawan, sebenarnya sebelum kita meninggal dunia ada satu perkara yang kita wajib buat tiap-tiap hari yang memerlukan kita meninggal dunia.

Ye. Solat. Kita kena tinggalkan dunia sebentar untuk solat. Solat yang khusyuk benar-benar memisahkan seseorang tu dengan urusan dunia.

Monday, 9 December 2013

Perempuan 8 (akhir)

Alhamdulillah
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam.

terima kasih,
terima aku.

hijab ini semalam kau buka
celik aku berdiri seperti Tuah
menikus dalam syukur
dititipkan bakal raja si bidadari

(lelaki ini barangkali
telah menemui sebelah sayapnya
yang hilang sejak lahir)

Perempuan,
aku mendoakan;
solehah itu pakaianmu
senyum itu cermin wajahmu
indah itu dirimu

dari lelaki seusiamu

Monday, 2 December 2013

Pergi - malam

tutup lampu

hujan, temani aku
menghapus jejak hari ini, semalam

selimut tubuh yang kalah
sering gundah memamah kehidupan

pergi jauh mimpi!
pergi!

aku,
bersandar pada Tuhan
tidak lagi harapan

tutup mata

Perempuan 7

di hulu itu aku
di hilir itu kau
telah aku layarkan si perahu kertas
tertulis namamu
juragannya hati yang tersurat
muatannya berat, puisi tersirat

biar sampai kepadamu nanti
sebuah cinta yang tak tidur
dari menjaga,
walau sesuatu membadai kita.

dari lelaki berat 73 kg..
berat lagi risaunya pada perempuan..

Dingin Disember

Alhamdulillah.. Pagi ni hujan malu-malu untuk menyiram bumi. Dan disebabkan itu ramai manusia yang liat nak berpisah dengan mimpi mahupun selimut busuk. Budak sekolah mungkin happy. Tapi buat mak bapak budak atau bakal pasti sukar untuk memulakan hari isnin sebegini.

Bila sejuk-sejuk macam ni, aku teringatkan saudara zahariz. Dengan basikal dia menjelajah. Macam mana la kan rasa hidup seorang diri di bumi salji tu. Fuhh. Benda macam ni yang aku teringin nak buat sebenarnya. Bak kata zahariz, bila dia tengok sesuatu keajaiban atau keindahan alam tu dia akan rasa kebesaran Pencipta tu. Allahuakbar!

Dalam banyak-banyak negara yang aku nak pergi, salah satunya Iceland. Zahariz dah sampai ke situ. Erghh. Bila pulak la time aku..

Kawan, bila hujan jangan mengeluh. Kita tak tahu pun kan rancangan Tuhan. Just doa semoga hujan tu bermanfaat.

Senyum.